Kem Aeroangkasa SKSI-USM

Monday, August 17, 2015


Pada Sabtu 15/8/2015 lepas, sebuah program kem sains bertemakan Kem Sains Aeroangkasa telah berjaya di jalankan di SKSI bermula 8 pagi hingga 2 petang. Kem tersebut telah dianjurkan oleh Panitia Sains SKSI (diketuai oleh Cikgu Nor Ma Shaari) dengan kerjasama staf-staf dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia.

Pasukan dari PPK Aeroangkasa USM diketuai oleh En. Mohamad Zihad Mahmud dan dibantu oleh 7 orang pensyarah, 7 orang staf teknikal dan seorang staf pentadbiran. Seramai 120 orang murid dari Tahun 3, 4 dan 5 telah mengikuti program tersebut.

Ucapan perasmian program telah diberikan oleh Guru Besar SKSI, Tn. Hj. Ibrahim Zainal. Ucapan bagi pihak PIBG telah diberikan oleh YDP PIBG, Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed Kassim. Beberapa orang staf aeroangkasa yang mengambil bahagian di dalam menjalankan program ini juga merupakan ahli PIBG SKSI.

Tiga aktiviti utama telah berjaya dijalankan sepanjang program ini. Ia bermula dengan ceramah mengenai aeroangkasa yang telah diberikan oleh Pn. Siti Harwani Md Yusoff, diikuti dengan dua aktiviti hands-on:
  1. Pertandingan Water Rocket yang diketuai oleh En. Hasfizan Hashim dan disertai oleh 20 kumpulan murid Tahun 4 dan 5. Setiap satu kumpulan dianggotai oleh 4 orang murid.
  2. Pertandingan Paper Helicopter yang diketuai oleh En. Mohd Najib Mohd Hussain dan disertai oleh 10 kumpulan murid Tahun 3.
Guru-guru yang terlibat telah memberikan komen yang positif terhadap program ini. Guru Besar SKSI menyatakan program ini yang dijalankan buat pertama kalinya di SKSI adalah penting untuk memberikan pendedahan kepada murid berkenaan dengan sains aeroangkasa, terutama sekali dengan aktiviti Water Rocket. Beliau bercadang untuk membawa SKSI bertanding di dalam pertandingan Water Rocket pada tahun depan, dengan harapan SKSI boleh maju ke peringkat negeri dan kebangsaan di dalam pertandingan ini.

Program ini juga diserikan dengan penerbangan sebuah quadrotor atau drone yang dikendalikan oleh En. Mohd Amir Wahab. Drone tersebut dilengkapi dengan sebuah kamera yang telah mengambil beberapa gambar SKSI dari pandangan atas (bird's-eye view).


Read more...

Ceramah Motivasi bersama Dr. Suzylawati

Wednesday, August 5, 2015

Ceramah Motivasi Ke-2 ini telah berjaya dilaksanakan pada petang Jumaat lepas, 31 Julai 2015, di Dewan Lavender SKSI hasil kerjasama dari Biro Motivasi PIBG SKSI dan Unit Bimbingan Kounseling SKSI. Ceramah bertajuk "Saya Hebat Saya Cemerlang" telah disampaikan oleh Dr. Suzylawati Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia.

Ceramah pada kali ini berfokuskan kepada persediaan murid untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan dijalankan pada 8-10 September 2015. Dr. Suzy memulakan ceramah dengan memberi sedikit pendedahan tentang USM. Tujuan pendedahan tersebut adalah untuk memberi semangat baru untuk semua murid tanamkan di dalam diri mereka bahawa mereka perlu berusaha sehingga berjaya untuk berada di menara gading (institusi pengajian tinggi).

Beliau juga telah mengadakan beberapa aktiviti dengan memberi beberapa soalan berkaitan persediaan murid untuk menghadapi peperiksaan. Cara penyampaian beliau telah diselitkan dengan cerita-cerita menarik di mana setiap individu yang mahukan kejayaan perlu berusaha. Dr. Suzy juga turut menyampaikan beberapa tips persediaan sebelum menghadapi peperiksaan sehinggalah apabila berada di dalam dewan peperiksaan. Penceramah juga menekankan akan kepentingan berdoa sebagai persediaan menghadapi peperiksaan dan juga beberapa teknik lain seperti teknik pernafasan.


* Terima kasih diucapkan kepada Cikgu Khuzaimah dan Cikgu Elme di atas laporan bagi program ceramah motivasi ini.

Read more...

  © Designed and managed by zmk. Modified from OBT 2012

Back to TOP