Mesyuarat Agung PIBG SKSI ke-15

Tuesday, April 5, 2016


Mesyuarat Agung PIBG SKSI ke-15, sesi 2015-2016 telah diadakan pada pagi Sabtu, 20 Februari 2016. Majlis ini telah dirasmikan oleh Guru Besar SKSI, Tuan Haji Ibrahim bin Zainal. Jumlah kehadiran adalah 218 orang (164 ibubapa dan waris, 54 guru), banyak meningkat berbanding pada tahun sebelumnya.

Beberapa usul berkaitan penambahbaikan SKSI telah dibincangkan dan sebahagiannya telah dipersetujui oleh ahli PIBG yang hadir, terutama usul-usul yang berkaitan penambahbaikan suasana dan kualiti pembelajaran bagi murid-murid di SKSI.

Seramai 22 orang ahli PIBG juga telah memberi nama mereka sebagai ahli Kumpulan Sarana Ibu Bapa (KISB), kumpulan sukarelawan yang sedia membantu SKSI dan PIBG di dalam program-program di SKSI yang akan dijalankan pada tahun ini. Dengan penamaan ahli bari ini, jumlah ahli KISB telah bertambah dari jumlah asal seramai 36 orang pada tahun lepas. Terima kasih dan setinggi penghargaan diucapkan kepada semua ibu-bapa dan para waris yang sedia membantu melalui keahlian KISB ini.

Pada sesi ini tiada pelantikan AJK baru dijalankan kerana setiap pelantikan berkuatkuasa selama dua tahun. Pelantikan AJK sekarang telah dijalankan pada tahun lepas semasa Mesyuarat Agung ke-14, sesi 2014-2015. Pelantikan baru akan diadakan pada tahun hadapan.

Maklumat lanjut dan gambar-gambar berkaitan Mesyuarat Agung ini boleh didapati di laman web SKSI.

Read more...

Ceramah Motivasi bersama Dr Azmier

Tuesday, March 1, 2016

Program Ceramah Motivasi Tahun 6 telah diadakan sekali lagi pada petang Rabu, 17 Februari. Ceramah bertemakan "Kecemerlangan Akademik" ini, dan yang pertama bagi Tahun 2016, diberikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Azmier Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia. Ceramah motivasi ini juga dibantu oleh seorang pelajar beliau, Mohamad Razif Mohd Ramli, yang juga YDP Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kejuruteraan USM.

Murid-murid Tahun 6 SKSI amat bertuah kerana dapat mendengar ceramah motivasi daripada Dr Azmier, seorang pensyarah muda USM yang berkebolehan dalam pelbagai aspek, disegani dan dihormati oleh rakan sekerja baik dari segi profesional mahupun peribadi, sentiasa penuh keceriaan dan kesopanan di dalam berinteraksi dengan sesiapa sahaja, dan sentiasa bersemangat dan penuh dedikasi di dalam aktiviti-aktiviti berbentuk ilmiah, terutamanya di dalam program yang mendekati masyarakat dan pelajar-pelajar dari berbagai peringkat.

Diharapkan nasihat yang diberikan oleh beliau akan berguna dan berkekalan sepanjang hayat kepada semua murid SKSI yang hadir ceramah beliau.

Syabas kepada Unit Kounseling SKSI dan Biro Motivasi PIBG di atas program ceramah yang telah berjaya dijalankan. Terima kasih khusus kepada Dr. Azmier dan pelajar beliau yang sudi meluangkan masa untuk memberi nasihat bermanfaat kepada pelajar-pelajar SKSI.

Disertakan di bawah beberapa gambar daripada program tersebut.

Read more...

Hari Sukan SKSI 2016

Tuesday, February 23, 2016

Untuk makluman para ibu bapa dan waris pelajar SKSI, Hari Sukan telah dijadualkan pada Sabtu 9 April 2016. Sila rujuk takwim di bawah untuk keseluruhan aktiviti kokurikulum bagi bulan April 2016.

Read more...

Mesyuarat Agung PIBG SKSI 2016

Tuesday, February 9, 2016

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sukacita dimaklumkan bahawa PIBG SK Saujana Indah, Nibong Tebal Pulau Pinang, akan mengadakan Mesyuarat Agung ke-15 pada Sabtu, 20 Februari 2016, bermula 8.30 pagi di Dewan Lavendar SKSI.

Sehubungan dengan ini, kami amat berbesar hati untuk menjemput semua ahli PIBG SKSI (para ibu-bapa/waris murid SKSI dan guru SKSI) ke mesyuarat tersebut.

Surat Jemputan Rasmi boleh dicapai pada salah satu daripada dua pautan ini: PDF atau Word.

Ahli-ahli PIBG juga dialu-alukan untuk memberikan sebarang soalan, pandangan, dan/atau cadangan sebelum mesyuarat tersebut dijalankan, terutamanya idea yang bertujuan untuk menambahbaik kualiti pembelajaran dan pendidikan di SKSI. Sebarang usul daripada tuan-tuan/puan-puan boleh dituliskan di ruang "Usul" yang dilampirkan bersama Surat Jemputan Rasmi yang boleh didapati di atas.

Borang Usul yang telah lengkap diisi boleh diserahkan sendiri ke Pejabat SKSI, atau di hantar melalui anak kepada guru kelas, selewat-lewatnya pada Selasa, 16 Februari 2016 (dilanjutkan daripada tarikh asal 12 Februari yang dinyatakan di Borang Usul), atau di emelkan ke alamat pibgsksi2015@gmail.com. Sebarang soalan/pandangan/cadangan dari tuan-tuan dan puan-puan kami dahului dengan ucapan terima kasih.

Kami berharap kedatangan beramai-ramai tuan-tuan dan puan-puan ke Mesyuarat Agung ini akan dapat memeriahkan lagi majlis utama ini, di samping bersama-sama berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan yang anak-anak kita terima di SKSI.

Sekian, terima kasih.
YDP PIBG SKSI 2015/2016

Read more...

Jemputan Berkongsi Pengalaman/Ilmu

Wednesday, October 7, 2015

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kepada ibu, bapa, atau penjaga kepada murid SKSI serta sukarelawan, anda semua dialu-alukan untuk menyumbang perkongsian pengalaman/ilmu dengan murid tahun 6. Semoga pengisian murid Tahun 6 pasca-UPSR daripada Tuan/Puan ini akan menjadikan mereka lebih bersemangat dan bersedia untuk menghadapi pelajaran menengah.

Tuan/Puan boleh mencadangkan tarikh dan masa yang sesuai dan pihak SKSI dan PIBG akan cuba buat aturan sebaik mungkin bagi menjayakannya. Untuk makluman, pihak SKSI dan PIBG telah menganjurkan dua program ceramah motivasi sebagai persediaan menghadapi UPSR. Kami juga akan mengadakan satu lagi program ceramah motivasi pada 30 Oktober ini sebagai sebahagian program pasca-UPSR.

Kepada yang berminat, sila hubungi:

  1. Dr. Azmier (019-4700250): Ketua Biro Motivasi PIBG, atau
  2. Cikgu Khuzaimah (017-7958503): Setiausaha PIBG dan wakil SKSI.

Read more...

  © Designed and managed by zmk. Modified from OBT 2012

Back to TOP